Sunday 13 July 2014

RESEPI KUIH SAGU MATA IKAN


RESEPI KUIH SAGU MATA IKAN


            Pokok sagu tergolong dalam tanaman daripada keluarga Palmae yang mengeluarkan sulur. Pokok sagu banyak terdapat di Malaysia dan kawasan hutan hujan ASEAN. Pokok sagu dikenali sebagai pokok rumbia. Pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.

            Pokok sagu juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum pribumi di Sabah dan Sarawak, antara suku kaum Bisaya dan Melanau. Pokok sagu mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6 hingga 8 meter panjang yang mula-mula tegak dan kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok sagu mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunganya daripada jenis protandrous di mana, bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Hal ini bagi memastikan pendebungaan kacuk akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun. Kemudian, pokok sagu atau pokok rumbia ini akan mati.

            Kuih sagu pula merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang diperbuat daripada biji sagu atau dikenali sebagai sagu mata ikan. Kuih sagu ini dimakan bersama dengan kelapa parut dan amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Kuih ini selalu dihidangkan dalam majlis kenduri dan majlis-majlis kemasyarakatan dan turut dihidangkan dalam mesyuarat-mesyuarat. Kuih sagu ini enak dimakan pada waktu pagi dan petang dan sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan umur.

            Kuih sagu ini biasanya dihasilkan bagi jualan harian dan tidak tahan lama. Ianya perlu disejukkan untuk tujuan disimpan dalam tempoh masa lama. Pada kebiasaannya, kuih sagu ini dihasilkan dengan pelbagai bentuk dan warna. Oleh kerana disebabkan kuih sagu ini tidak tahan lama, ianya tidak sesuai untuk tujuan komersial. Namun, lebih seseuai untuk kegunaan sendiri atau menurut tempahan sekiranya ada.


Bahan-bahan:
3 cawan air
1 cawan sagu
¾ cawan gula pasir
6 titik sirap pekat
sedikit kelapa putih + sedikit garam (untuk digaulkan bersama kuih)

Cara-cara penyediaan:
·       Didihkan air bersama perasa sirap. Kacau sebati.
·       Apabila air sudah mendidih, masukkan sagu. Kacau rata selama 10 minit.
·       Kemudian apabila sudah nampak pekat sedikit, masukkan gula pasir. Jangan masukkan gula pasir terlalu awal. Hal ini untuk mengelakkan kesukaran untuk menghilangkan serbuk-serbuk berwarna putih yang melekat pada biji sagu.
·       Kacau lagi sehingga pekat.
·       Apabila sudah likat, masukkan ke dalam loyang.
·       Kukuh sehingga biji sagu menjadi kembang dan tiada lagi warna putih.
jangan masuk gula pasir awal-awal.. nanti susah nak ilang putih2 biji sagu tu.
·       Selepas lebih kurang 20 hingga 30 minit, angkat dan sejukkan sagu.
·       Apabila kuih masih lembap, potong mengikut citarasa anda dan gaulkan bersama-sama kelapa putih.

·       Kuih sagu anda siap untuk dihidangkan.